2/19/2009

Zahid enggan ulas Jins calon Bukit Gantang

. 2/19/2009

PETALING JAYA: Menjelang pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang pada 7 April depan, Senator Tan Sri Jins Shamsudin adalah antara nama yang disebut-sebut sebagai calon yang akan mewakili Umno.

Ketika diajukan mengenai kesahihan perkara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi enggan mengulas namun katanya, ramai yang menawarkan diri untuk menjadi calon.

“Semua nama itu akan dikemukakan kepada pimpinan tertinggi parti untuk dipertimbangkan,"katanya kepadamStar Online hari ini.

Zahid bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama yang telah menawarkan diri itu.

"Maaf saya tidak boleh dedahkan nama itu sekarang. Tunggu sehingga pucuk pimpinan umumkan kerana ia hak mutlak Presiden Umno untuk tentukan calon,” jelas Zahid.

Pelakon veteran tersohor Jins Shamsudin merupakan anak jati Taiping dan pernah terbabit dengan Biro Ekonomi Umno bahagian Bukit Gantang.

Semalam Zahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, tidak kurang daripada 10 nama disenaraikan sebagai calon Umno bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, April ini.

Mengenai latar belakang calon, menurut beliau calon yang dipilih nanti mestilah individu yang boleh diterima oleh kebanyakan pengundi selain mampu memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional pada pilihan raya itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan pada 7 April serentak dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri(DUN) Bukit Selambau, Kedah. Hari penamaan calon bagi kedua-dua pilihan raya itu ditetapkan pada 29 Mac.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong berikutan kematian Roslan Shaharum daripada PAS pada 9 Februari lepas akibat sakit jantung manakala DUN Bukit Selambau pula kosong ekoran peletakan jawatan V. Arumugam daripada PKR pada 8 Februari. - Mstar

0 ulasan:

Post a Comment